Monday, March 12, 2007

Ahli Umno Akan Hukum Pemimpin Mereka



OLEH Ammar Rozi

SELEPAS Penasihat Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke beberapa kawasan di Parlimen Parit Sulong lebih sebulan lalu, pemimpin Umno-BN gelabah tidak tentu arah. Mereka pucat leser! Kenapa?

(Foto atas: Lawatan Anwar terhadap mangsa banjir di penempatan sementara Sekolah Agama Parit Sulong)

Sejak awal, rakyat umumnya tahu bahawa Anwar Ibrahim difitnah. Anak kecil yang beringus sekalipun tidak dapat menerima tuduhan bahawa Anwar dituduh liwat dan dituduh mahu ‘menjual’ negara. Sampai hari ini, kepala konspirator, Dr Mahathir Mohammad masih percaya dengan propagandanya sendiri. Jangan lupa Dr Mahathir merupakan bekas Presiden Umno.

Waktu itu, dengan alasan kononnya ingin “menyelamatkan bangsa,” ahli-ahli Umno berada dalam keadaan serba salah. Mereka menjadi keliru dan termakan dengan cakap-cakap kononnya orang Melayu akan hanya selamat di bawah lindungan Umno. Ternyata itu semua hanya sebahagian daripada ilusi politik yang akhirnya mengecewakan orang Melayu sendiri.

Orang-orang tertentu, yang mahu menjadi kaya raya, yang mahu hidup mewah dengan cara mempunyai kuasa berulang kali membebelkan kata-kata bahawa hanya Umno yang boleh menyelamatkan dan membela orang Melayu. Sudahnya, yang dibela adalah diri mereka sendiri. Orang Melayu tetap juga terabai.

Setiap bidang dan cita-cita untuk membantu umat Melayu menjadi mimpi negeri di siang hari. Pendidikan orang Melayu bukan sahaj ketinggalan, terutama di peringkat antarabangsa. Begitu juga dalam aspek perniagaan, apatahlah teknologi dan kebudayaan. Segala-galanya yang dikaitkan dengan nama “Melayu” hari ini dipandang jelek, termasuk di peringkat antarabangsa. Sungguh menyedihkan!

Kerakusan dan ketamakan pemimpin Umno, juga menjadi sebahagian perangai pemimpin parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN). Masing-masing mengumpul kekayaan masing-masing. Sama sahaja buruknya perangai sebahagian besar pemimpin MCA, MIC atau parti-parti lainnya di dalam Barisan Nasional.

Akhirnya, keseluruhan nasib rakyat Malaysia diperjudikan kerana ketamakkan dan idea gila pemimpin kerajaan.

Sepanjang sepuluh tahun itu jugalah, Anwar bergelut untuk mempertahan maruah diri dan keluarga. Anwar terus gigih, walau dipenjara enam tahun, duduk kesunyian dan memikirkan akannasib bangsa dan negara ini. Di luar penjara, ramai juga pemimpin Umno yang terus melempar tohmah dan fitnah tidak henti-henti.

Kata mereka, Anwar mendapat mendapat layanan istimewa di dalam penjara. Kata mereka lagi, Anwar ada gimnasiumnya sendiri untuk bersukan. Ada televisyen besar. Boleh tengok TV. Bahkan, Azizah boleh melawat Anwar bila-bila masa, termasuk waktu malam untuk berlaku seperti isteri di rumah.

Betapa biadapnya semua kata-kata ini, seolah-seolah terbit daripada mulut manusia yang langsung tidak mempunyai adap-budaya, seolah-olah mereka boleh menongkat langit sampai bila-bila.

Barisan pemimpin yang berkuasa di negara ini bukan sahaja dibarisi oleh manusia pendusta dan pembohong, tetapi juga manusia-manusia yang lemah iman politiknya. Sewaktu zaman Mahathir, mereka tidak berani menegur walaupun sebaris ayat.

Anak pak imam, Abdullah Ahmad Badawi yang kini Perdana Menteri pun tidak berani bercakap benar. Ketua Pemuda Umno lebih-lebih lagi. Ketua wanita Umno memang memusuhi Anwar kerana beranggapan Anwar telah menyebabkan dia pernah kalah sebagai Ketua Wanita dalam Pemilihan Umno.

Saya dengar, sampai ke bawah-bawah, sampai ke Batu Pahat dan Parit Sulong, pemimpin Umno-BN adalah manusia bacul. Mereka cuma berani melalak dan mengertak orang kampung, tetapi tidak pernah berani bercakap benar. Dalam hidup orang politik Umno-BN itu, yang penting dan yang tertinggi dalah kuasa dan wang ringgit. Bukan kebenaran dan keikhlasan.

Namun, yang ramai-ramai itu, yang masih menjadi ahli Umno, mereka manusia juga. Ada hati dan perasaan. Mereka mula sedar bahawa mereka bukan sahaja ditipu sejak sekali lama, tetapi mereka juga dipermainkan. Sentimen mereka dibakar. Sokongan mereka diraih. Terus diraih. Untuk apa? Ya, hanya untuk menyelamatkan tembolok dan perut pemimpin Umno-BN yang sombong dan tamak.

Perjuangan para pemimpin Umno-BN itu bukan untuk orang Melayu. Bukan untuk rakyat Malaysia. Kalau dalam kes penganiayaan terhadap Anwar pun mereka tidak boleh bercakap benar, bertindak sebagai pahlawan, mereka sesunguhnya tidak layak langsung untuk bercakap dan menonjolkan diri sebagai hero bangsa. Mereka adalah pengkhianat bangsa. Mereka pengkhianat kepada kebenaran.

Yang mereka tidak tahu ialah, orang Melayu sudah tahu tipu muslihat. Ahli-ahli Umno sudah cukup sedar betapa Anwar adalah pemimpin terbaik bangsa, yang tiada tara berbanding kaki-kaki songkap yang kini menjadi pemimpin Umno. Ahli-ahli Umno sesungguhnya hanya menunggu masa untuk satu persatu hukuman dijatuhkan kepada pemimpin yang berbohong itu... termasuk di dalam kawasan Parit Sulong!

[kembali ke halaman utama]

0 Comments:

Post a Comment

<< Home