Friday, April 20, 2007

Catatan di Ijok

DUA hari sebelum penamaan calon; ulang-alik dari KL-Ijok-KL. Sejak semalam, selepas sembahyang Jumaat, berkubu di Setia Jaya; sebuah kampung dua kilometer daripada Pekan Batang Berjuntai.

Paling hangat tentunya di hari penamaan calon, di dewan orang ramai Batang Berjuntai. Provokasi Khairy Jamaluddin memualkan. Kita tahu, beliau adalah antara budak yang turun demontrasi 1998, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat. Dan, apabila gagal untuk bertarung di dalam politik pembangkang, terutama Keadilan, beliau aktif dalam Umno. Cuba bawa 'roh' dan 'semangat perjuangan' dalam Pemuda Umno ~ yang sesungguhnya layu.

Pemuda Umno ~ karena di kampung saya juga dapat melihat bagaimana Pemuda Umno tidak punya semangat apa pun ~ maka, Khairy mencuba menyuntik 'roh reformasi' ke bahu Pergerakkan Pemuda. Tapi, yang timbul, cuba biadap. Dan, hara-huru.

Malam Khamis: Buletin Utama TV3, mengeluarkan montaj, foto saya menjerit. Emak saya segera menelefon dari kampung. "Jangan mengaruk..." kata emak.

Yang berlaku, apabila saya lihat adegan baling botol, dan ada kayu batang bendera turut terbang, memang saya berlari ke tengah padang. Sekuat-kuat hati. Saya laungkan; saya cabar kamu berdebat! Di sini bukan tempat untuk berlagak. Ayuh kita berdebat!

Dia tidak keluar. Beberapa minit selepas itu, bersama Naib Presiden, Azmin Ali, saya mencabar agar Hishamuddin Hussein muncul. Agar kita berhadapan. Ada yang dia perlu jawab di hadapan rakyat Ijok. Dengan loud haller, sepuluh minit saya laungkan, "Hishamuddin keluar!" Dia tak muncul. Pemuda badan gempal, yang jadi barisan hadapan hanya memandang ke arah saya dan Azmin. Diam. Muka mereka, mana hendak mereka taruhkan? Ketua mereka, bacul.

Hairan, karena, Pemuda yang sewajarnya penuh dengan idelisme, tetapi jadi begini korup. Pemuda peringkat bawah, agaknya, masih percaya yang mereka berjuang demi bangsa. Hairan, bagaimana tidak dilihat, dan diinsafi, tentang ketua-ketua mereka yang hidup kaya raya tampal batas.

Seperti kata Azmin selalu, Hishamuddin itu adalah Pemuda Umno paling kaya dalam sejarah Umno. Dan kini, Khairy, yang suatu hari, saya tersempat dengannya di Jalan Maarof, Bangsar, dengan memakai kereta bukan main besar. Nombor pendaftaran: KJ 10 Q.

Ada dua kemungkinan. Satu, Pemuda Umno bawah-bawah itu juga di kalangan manusia yang tidak berdaya dalam hidupnya, dan memilih jalan mudah untuk turut sama memunggah dan merompak kekayaan rakyat dan negara buat diri sendiri. Kalau Hishamuddin dapat ratus juta, tentu mereka berfikir, cukuplah kalau mereka dapat ratus ribu...

Kedua, sungguh mereka itu buta hati. Membiarkan semuanya berlalu, dan berlalu.

Isteri Najib pun datang, ke pintu depan dewan. Acara penamaan calon hampir selesai. Kawan-kawan, terutamanya Angkatan Muda Keadilan, lantas bersorak, "Altantuya... Monggolia!" Ada anggota polis yang tersenyum sipu. Menahan rasa hati, yang, barangkali telah bersetuju.

Kalau Ijok jatuh ke tangan Keadilan. Najib akan mahu besar. Abdullah Badawi akan menjadikan keputusan itu kelak sebagai kata sindir untuk menekan lagi politik Najib. Najib dan Rosmah, ketika mereka keluar daripada pintu tepi dewan ~ karena tidak berani berhadapan dengan pemimpin Keadilan, termasuk Datin Seri Dr Wan Azizah ~ merah muka. Rosmah itu, tatkala masuk ke dalam dewan tadi, sedikit pun tidak memandang, patah lagi bersalam dengan Azizah. Lagaknya itu, turut diikuti ketua Puteri Umno, Noraini Ahmad dan kuncu-kuncu mereka.

Tidak pernah, tentunya, dalam hidup isteri-isteri pemimpin, dan pemimpin Puteri Umno merasakan jejak perjuangan. Mereka berkempen, bergerak, dalam keadaan cukup mudah dan mewah. Ada polis pengiring. Ada minuman sejuk tatkala panas terik. Ada payung dan penghawa dingin. Kereta besar.

Calon Keadilan, Tan Sri khalid Ibrahim, pemimpin tertinggi Keadilan, termasuk Azizah dan beberapa pemimpin tertinggi Pas berjalan dua kilometer daripada Bilik Gerakkan Keadilan sampai ke dewan penamaan calon.

Dihalang penyokong Umno-BN kira-kira lima ratus meter lagi sebelum sampai dewan. Kekecohan bermula di sana. Langsung tidak ada hormat. Agaknya, bagi mereka, bumi dan negara ini, "aku yang punya!"

Tidak, pemimpin BN tidak pernah merasai semua kepayahan ini. Karena itu, tidak ada kegigihan. Tidak ada perjuangan apa pun. Semuanya kulit, dan pura-pura.

Lebih-lebih lagi Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim. Lagak jaguh. Kami dipisahkan pagar. Dia berdiri di seberang sana, di dalam kawasan dewan. Mulutnya terkumat-kamit, seperti menyebutkan, "pondan... pondan... pondan." Apakah maknanya? Apakah dia masih menyatakan Anwar dengan tuduhan liwat? Apakah maknnya "pondan" itu? Mungkin dia tidak tahu keputusan mahkamah.

Saya yakin dia tahu, tetapi, dalam politik, dia tergamak lagi memyangkan Anwar, dan Parti Keadilan Rakyat sebagai "parti pondan." "Pondan," maksudnya "main bontot," bukan?

Semua ini dia lakukan di hadapan pemimpin Keadilan, yang, sebentar tadi dia salam-salam.

"Norita-Norita-norita!" laung kawan-kawan. Dia terdiam. Kita tahu. Kita ingat. Cuba dia tidak sangka, yang kita ingat nama itu, "Norita-Norita-Norita..."

Derduyun orang Umno-BN berkumpul dari seluruh negara. Jalan-jalan kampung yang sepanjang 15, 20 tahun terabai, tiba-tiba diturap. Parit dikorek. Papan tanda "Projek Kerajaan Barisan Nasional" naik banyak. Anjung Balai Polis Ijok diganti mar-mar berkilat. Pintu gerbang dekat hampir semua kampung dipacak. Duit mencurah lebat.

"Aku nampak duit dalam beg. Banyak," kata seorang orang kampung yang berbisik kepada kawannya di tapak pasar malam. Saya mencuri dengar. Membeli ayam percik.

"Mereka kasi aku sedikit. Aku ambil. Tapi aku tidak bodoh," katanya lagi.

Kawan-kawannya yang lain berbisik tentang jalan yang berturap baru, di hampir semua cerok-cerok kampung. Mereka tersenyum.

"Tapi, aku tidak akan mengundi 'sampah' lagi," kata salah seorang.

"Sampah?" Ya, sampah! BN, di Ijok dipanggil "sampah," karena Khir Toyo menjadikan pekan Ijok dan Batang Berjuntai sangat busuk dengan sampah-sampah yang dicurah di sebuah pusat pelupusan sampah di sini. Projek itu, khabarnya, diberikan kepada adiknya sendiri. Dan, diberhenti dia, dua hari selepas kematian wakil rakyat BN yang lepas.

Wakil rakyat itu tidak menghidu apa pun bau busuk itu ~ yang turut sampai ke hidung saya setiap masa ~ karena dia tinggal di Seksyen 7 Shah Alam. Seksyen 7 adalah antara kawasan rumah mewah di Shah Alam, dan berhampiran juga dengan kediaman rasmi Khir Toyo.

Ijok: rakyat sedang berhadapan dengan naga bersisik tajam, yang sedang menunggang semua bala tentera hutan belantara.

Hasmi Hashim
Ijok, 21 April 2007

[kembali ke halaman utama]