Thursday, August 03, 2006

Temubual dengan Anwar : 1976

Sehari sebelum Hariraya Aidilfitri tahun ini, Anwar Ibrahim, 29 tahun, pendidik, pemimpinbeliau, dan bolehlah disifatkan secara umum sebagai “pejuang kebenaran” sejak dari bangku sekolah lagi, telah dibebaskan setelah ditahan selama 21 bulan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Walaupun belum sampai sepuluh tahun beliau melangkah keluar dari bilik darjah sebagai murib, Anwar telah berjaya manarik perhatian rakyat, terutamanya para belia, sebagai pemimpin yang berkaliber dan berjiwa besar.

Sekurang-kurang beliau dihormati kerana ketegasannya berpegang pada prinsip perjuangan yang dibawanya.

Anwar telah mensifatkan penhanan selama hampir dua tahun itu sebagai “satu masa rihat yang agak panjang,” sedangkan beliau tidak berapa memerlukannya.

Tidak syak lagi pembebasannya untuk meneruskan tugas-tugasnya memulakan satu babak baru dalam perkembangan pemikiran tanahair, terutamanya yang menyentuh soal-soal pendidikan dan Islam.


Bila saudara ditahan dulu dan atas tuduhan apa?

Saya mulai ditahan pada 3hb Disember, 1974, hari Demontrasi Issue Baling di Kuala Lumpur di bawah Seksyen 117 (Jenayah) dan 3 hari kemudian Kerajaan telah menggunakan tuduhan asal dan menangkap semula di bawah Akta KDN.

Saya dituduh “secara aktif dan sedar bekerjsa untuk menggulingkan Kerajaan yang sah sekarang ini.” Tidak syak lagi dikalangan yang waras pemikirannya bahawa tuduhan ini adalah palsu, rekaan belaka serta didorong oleh muslihat peribadi dan politik sempit.

Di antara tuduhan-tuduhan ke atas saya adalah bersabit dengan kegiatan anti-Tengku Abdul Rahman (1969), memperjuangkan dasar bahasa Malaysia di Universiti Malaya (1970-71), menyokong perjuangan minority Islam termasuk demontrasi menentang lawatan Thanom Kittikachon ke Malaysia (1971), kegiatan membantah bantuan Amerika Syarikat terhadap Zionis Israel dalam keganasan dan perompakan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin (1973), mencetak dan mengadakan kertas kerja saduran dari buku Malay Dilemma dan dibentang di Sidang Persatuan Kebangsaaan Pelajar-pelajar Islam (PKPIM 1971), desakan supaya ditubuh Universiti Islam dan akhir sekali bersabit dengan Demontrasi Baling 1974.

Berdasarkan tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak munasabah untuk ditaksirkan sebagai usaha untuk mengulingkan Kerajaan. Bahkan terdapat kesalahan fakta dalam beberapa tuduhan—penentangan terhadap keganasan Kerajaan Singapura terhadap 3 pemuda Malaysia (1971) dikatakan sebagai berbau perkauman kerana saya membela pemuda-pemuda Melayu. Pada hal 3 pemuda tersebut terdiri dari seorang Melayu, seorang China dan seorang India! Foram yang dikatakan, dianjurkan oleh PKPIM di Kelantan tidak pernah wujud. Cadangan ABIM untuk menganjurkan Seminar Palestine dijadikan tuduhan. Kritik terhadap Akta Universiti (1970) dalam satu perjumpaan PBMUM dianggap sebagai menghasut para mahasiswa.

Yang lebih pokok ialah bahawa selama 2 bulan saya disoal oleh pegawai-pegawai polis cawangan khas perkara-perkara tuduhan di atas hampir tidak berbangkit. Yang disoal ialah gerakan ABIM, mengapa saya tidak menjadi anggota UMNO, di mana bantuan $3 juta dari Libya (?) dan peranan saya sebagai Penasihat Belia Bangsa-bangsa Bersatu, Jawatankuasa Perhimpunan Beliau Sedia – WAY (saya meletak jawatan pada pertengahan tahun 1974), serta kunjungan-kunjungan ke luar negeri.

Bagaimana layanan yang saudara terima semasa ditahan? Apa kesannya kepada saudara?

Pada keseluruhannya layanan adalah sederhana. Saya dapat membaca, menulis dengan beberapa sekatan tertentu. Cuma yang kurang menyenangkan ialah tatkala di bilik kurungan di Jalan Bandar, K.L. Di peringkat awal, bahan bacaan tidak dibenarkan masuk dan kami tidur di atas simen sahaja.

Walau bagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana di sepanjang dalam tahanan, saya menganggap sebagai ujian kecil dari Allah s.w.t. dan oleh itu bertenang dan bersabar. Kesannya kalau ada pun ialah badan yang lebih tahan lasak dan kesanggupan serta tekad berjuang yang bertambah.

Sebagai seorang yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, apa pandangan saudara terhadapnya? Mungkinkah ada kes-kes tertentu di mana Kerajaan memerlukan kuasa yang diberi oleh Akta ini untuk menjaga keselamatan Negara?

Saya tidak menafikan perlunya kuasa-kuasa darurat dalam keadaan kesematan negara tidak lagi terjamin. Saya tidak mahu berpura-pura seperti golongan komunis yang begitu keras menentang kekerasan tetapi bertambah kejam dalam mempertahankan sistem kuku besi mereka apabila mereka berkuasa.

Walau bagaimanapun, harus diinsafi bahawa kuasa AKDN dalam undang-undang draconian lainnya memberi kuasa mutlak kepada Kerajaan dan memungkinkan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan tindakan sewenang-wenanganya semata-mata mempertahan status quo pemerintahan yang ada. Ramai yang menjadi mangsa kerana keberanian mengkritik beberapa dasar kerajaan dan akhirnya ’dipenjara kerana fahaman yang dianuti’ atau apa yang disebut sebagai ”prisoners of conscience.”

Dari itu perlu ada badan bebas untuk mengkaji semula setiap kes untuk menentukan bahawa keadilan terlaksana. Lembaga Penasihat yang wujud sekarang tertakluk kepada Kuasa Menteri Dalam Negeri kerana tugas mereka hanyalah ’menasihat’.

Tentang masa depan saudara, saudara sudah mengatakan yang saudara tidak akan menyertai bidang politik kepartian. Bukankah ini menghalang perjuangan saudara sendiri, iaitu Islam, yang tidak dapat memisahkan soal keagamaan dari kenegaraan dan aspek-aspek lain dalam hidup manusia?

Banyak pihak yang curiga takut-takut ABIM muncul sebagai satu parti politik. Di antara mereka ialah orang-orang yang mencanangkan faham demokrasi. Hak mana-mana orang perseorangan atau kumpulan untuk menubuhkan atau menyertai parti politik tidaklah harus dipersoalkan.

Sikap saya dan ABIM telah berulangkali ditegaskan bahawa kami tidak menganggotai atau melibatkan diri dengan mana-mana parti politik. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita akan membisu dalam perkembangan politik yang boleh menjejaskan kepentingan umat atau menghalang kita daripada mengemukakan pandangan bagi memperjuangkan hal rakyat.

Benar, Islam tidak mengizinkan wujudnya pandangan sekular—pengasingan soal agama dan negara—dan oleh itu sebagai gerakan yang cuba menghayati ajaran Islam persoalan agama dan hidup manusia secara menyeluruh adalah terangkum dalam pembicaraan dan kegiatan kita.

Apa pandangan saudara tentang Demontrasi Pelajar 1974 itu? Adakah ianya sia-sia sahaja? Apakah jalan lain yang terbuka kepada para pelajar sekarang?

Saya masih berpendirian bahawa Demontrasi Pelajar 1974 adalah didorong dari rasa kesedaran akan penderitaan yang dialami oleh sebahgian besar penduduk desa—petani dan nelayan miskin. Setelah gagal jalan perundingan menurut saluran biasa, maka mahasiswa-mahasiswa telah memilih untuk berdemontrasi secara aman.

Menang langkah pemerintah bertindak kasar untuk menyuraikan tunjuk perasaaan adalah mendukacitakan dan akhbar-akhbar serta saluran sebaran am pemerintah memainkan peranan tradisonal mereka dengan memutarbelitkan kenyataan dan menunjukkan tindakan Kerajaan dengan seputih-putih gambaran dan tindakan mahasiswa pula dengan sehitam-hitamnya.

Kesan terhadap mahasiswa adalah dengan penangkapan dan undang-undang yang lebih ketat bagi menyekat kegiatan pelajar. Namun rakyat telah dididik melalui peristiwa tersebut untuk dapat menilai sesuatu dengan lebih kritis; menggambarkan pondok buruk yang robek menurut kenyataannya dan tidak menulisnya sebagai mahligai impian!

Pemerintah sendiri terpaksa mengambil langkah-langkah segera—janji-janji untuk mendirikan kilang-kilang di Baling; rancangan Buku Hijau dan lain-lain. Malangnya, kefahaman mereka dan kesungguhan dalam pelaksanaan masih lagi dipersoalkan.

Saya optimis dengan peranan dan kemampuan pelajar-pelajar sekarang. Kebebasan mungkin dipenjara akan tetapi pemikiran dan hati tidak mungkin dikongkong.

Sekiranya kesedaran sebegini tetap ada seperti mana pesatnya gerakan dakwah sekarang ini, maka mereka akan tetap memperjuangkan kebenaran dan keadilan!

Tentang Yayasan Anda, di mana perbezaan dan persamaannya dengan sekolah-sekolah Kerajaan? Adakah ia bertujuan untuk menyediakan pelajar-pelajar bagi menghadapi peperiksaan Kerajaan saja, atau matlamat lebih dari itu? Apa matlamat ini?

Pelajar-pelajar pula dilatih untuk memikul tanggungjawab dan diajak merancang bersama bagi memperbaiki kebajikan pelajar dan perjalanan sekolah. Memang kemajuannya belum begitu membanggakan tetapi kami akan terus mencuba, Insya Allah.

Di Yayasan Anda Akademik, motto kami ialah bagi mendidik pelajar-pelajar ke arah pencapaian matlamat ”insan akademis yang bertaqwa.” Oleh itu, sementara pelajar-pelajar dilatih untuk menyediakan diri mereka dalam menghadapi peperiksaaan SPM dan STP, mereka juga diasuh dengan mata pelajaran prinsip Islam yang intensif dengan tujuan memahami Islam sebagai sebagai satu cara hidup dan berusaha menghidupkan suasana keIslamnan di sekolah.

Bagaimana hubungan ABIM dengan badan-badan dakwah yang lain seperti PERKIM, USIA dan sebagainya?

Hubungan ABIM dengan badan-badan dakwah lainnya adalah baik. Kami akui peranan yang harus dimainkan oleh semua badan-badan tersebut untuk menyebarkan syiar Islam. Cuma yang kami tekankan ialah bahawa tujuan dakwah adalah untuk mempertahankan kepentingan Islam semata dan mestilah patuh kepada peraturan dan ethika dakwah.

Mestilah ada toleransi (tasamah) dalam cara bertindak asalkan prinsip tidak digadai.

Walaupun saudara tidak mahu terlibat dalam politik parti, dan tidak akan bertanding dalam sesuatu pilihanraya, calon yang bagaimana dan perjuangan politik yang sebagaimana yang saudara akan sokong sebagai pengundi biasa? Apakah calon seperti itu dan parti seperti itu ada di negeri ini?

Saya ingin mengelak dari membicarakan soal politik kepartian. Cuma saya tidak menafikan adanya calon-calon yang berkelayakan dari segi Islam dilihat dari segi ketinggian akhlaknya, ilmu agamanya dan kemampuan memimpin.

Ancaman Komunis makin kuat sekarang ini. Bagaimana mematahkannya, pada pendapat saudara?

Saya telah mengupas persoalan ini dalam perutusan kepada Muktamar ABIM 1975. Telah berulangkali disebut bahawa faham komunis adalah reductio ad absursum, akibat terakhir dari kebudayaan Barat yang sensate, mengganas, kebendaan serta tanpa perhitungan nilai akhlak dan dari itu satu faham yang merupakan kemuncak pemberontakan manusia terhadap fitrah. Sifat semula jadinya sendiri.

Masyarakat beragama selamanya telah menginsafi pengkhianatan dan kekejaman yang berlaku di bawah rejim komunis di mana saja. Betapa pun cuba mereka berselindung dan berpura-pura; sejarah telah mempersaksikan keganasan mereka terutama kerana intisari Marxisme yang menganggap agama sebagai candu masyarakat dan penganut-penganut agama yang setia dicap sebagai ’anti rakyat’!

Memandang kepada peranan yang dimainkan oleh pendukung-pendukung agama yang jujur khususnya di kalangan umat Islam yang bertindak sebagai benteng paling berkesan dalam menghadapai serti melenyapkan kemaraan komunisme, maka pelbagai muslihat telah dijalankan melalui Front Bersatu untuk mengabui mata rakyat dan menunjukkan bahawa mereka tidak anti-agama, sementara mereka belum beroleh kekuasaan!

Sekiranya gagal cara tersebut—kerana setiap kebatilan parti gagal juga akhirnya!—mereka akan mula membuat serangan-serangan ofensif terhadap agama dan pemimpin-pemimpin agama sebagai ’puak Kanan’, ’feudal’, ’fanatik’, bahkan ’alat CIA’, ’penindas’ dan sebagainya.

Justru kerana itu kita haruslah memerangi faham tersebut dalam rangka besar menentang segala bentuk penindasan dan kezaliman; sebagai perjuangan yang hak dalam menentang kebatilan. Ianya harus merupakan perjuangan yang dapat membebaskan manusia dari kesesatan-kesesatan faham dan falsafah hidup serta kesesatan dalam cara bertindak yang ganas dan terkutuk.

Dari itu seluruh tenaga Kerajaan dan rakyat, seluruh pencinta kebebasan dan keadilan haruslah digembeling bagi mempertahankan barisan dalam menghadapi pencerobohan dan jenayah oleh Komunis. Kita haruslah bersedia menghadapi serangan ini dengan segala tenaga yang ada serta memberikan sebanyak ruang dan kemungkinan bergerak kepada segenap lapisan rakyat.

Ancaman mungkin kian menggemparkan, tugas kita mungkin kian berat, namun ia tidak harus mengalih pandangan kita dari peperangan menentang komunisme ia ini menegakkan keadilan!

Bentang paling utuh dan kukuh ialah benteng keimanan. Kecintaan yang dapat dipupuk ialah melalui usaha raksaksa dan kesanggupan semua pihak untuk bertindak adil dalam menjamin keluhuran undang-undang, pembahagian rezeki dan kemudahan yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial.

Selain dari itu, usaha berkesan haruslah digunakan ke arah mempertinggikan fahaman (fikrah) rakyat dan menanam semangat pengornanan dalam mempertahankan hak kemerdekaan.

Adakah ada apa yang tidak menyenangkan saudara tentang kedudukan agama Islam dan para penganutnya di negara ini? Sejauh mana salahnya (kalau ada) boleh diletakan ke atas orang-orang Islam, terutama Melayu sendiri? Bagaimana membetulkannya?

Masalah yang dihadapai oleh umat Islam ialah akibat dari pengasingan agama dari masyarakat. Sejak awal penjajahan, faham sekularisme menular ke tengah-tengah masyarakat melalui sistem pendidikan Barat; emansipasi penurut faham penjajah ialah membebaskan masyarakat Islam dari agamanya. Apa yang mahu diusahakan kepada fitrahnya dengan melenyapkan kepura-puraan dan kezaliman dalam masyarakat.

Di antara faktor yang membawa kepada keruntuhan tersebut ialah kecuaian pemimpin, kelembaban ulamak dan kejahilan umat. Tidak terbayang penyelesaian munasabah lainya selain dari mempelajari dan menghayati ajaran Islam itu sendiri serta bertindak memperjuangkannya semata-mata untuk hak dan keadilan; tidak berpaut kepada ranting-ranting perkauman sempit, faham kapitalisme dan komunisme.

[kembali ke halaman utama]