Wednesday, March 14, 2007

Angkatan Muda dan Anwar Ibrahim

APAKAH terlalu mustahak bagi saya memberi kata putus untuk menerima pencalonan apa-apa jawatan tertinggi Parti? Tiap hari, soalan tak putus-putus. Saya didesak menjawab.

Nah (!) kali ini, ayuh kita bincang. Bincang betul-betul… ya! tentang nasib dan masa depan Angkatan Muda Keadilan (AMK). Saya cukup sedar yang saya tidak boleh mengelak lagi untuk bercakap serius, terutama selepas AMK bahagian Ampang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Ketua AMK, 9 Mac lalu.

Terima kaseh. Saya terharu dengan sokongan teman-teman.

Hari ini, Angkatan Muda sudah memasuki “period baru perjuangan.” Kita melewati period baru ini bukan tatkala Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas, tetapi sebenarnya sejak Ezam Mohd Nor ditangkap. Dan sejak itu, Pemuda Keadilan (sebelum pengabungan dengan Parti Rakyat Malaysia [PRM] menjadi Angkatan Muda) berada dalam keadaan sedikit keliru. Angkatan Muda sebagai pewaris “perjuangan 1998” tidak segagah dahulu.

Siapa boleh menafikan kenyataan ini? Saya yakin semua di antara kita sedar. Dan mengakuinya.

Sewajarnya kita sudah dapat belajar ~ sekalipun kekuatan perlu ada pada seseorang pemimpin, tetapi bukan terikat mati kepada satu-dua pemimpin. Kita tidak mahu kalau pemimpin hilang, perjuangan pun terkubur sama.

Maka, kita bukan sahaja perlu menjiwai semangat anak muda, tetapi anak muda juga perlu segera mampu menggarap agenda perjuangan baru sebagai persiapan mengharung perjuangan masa depan.

Kelebihan Angkatan Muda ialah kita ada model: kita ada Anwar Ibrahim.

Anwar: tokoh besar yang membina kekuatan sejak muda. Dari universiti ke “zaman ABIM,” atau tatkala bersama kerajaan selama lebih 15 tahun, sebelum dihumban ke penjara enam tahun… Adapun, bukan “badan” atau “tubuh” yang bikin beliau jadi tokoh besar. Yang buat Anwar dijulang ke puncak adalah kerana idealisme-nya. Adalah kerana idea dan pandangan-nya.

Ini rahsia yang [barangkali] tidak disedari. Ramai yang melihat Anwar dari cara Anwar berpidato, suaranya, misai-janggutnya, sampailah kepada bentuk cermin mata Anwar. Ramai juga yang melihat Anwar sebagai “kaki demo” sejak universiti, sehinggakan, sejak bebas, apabila Anwar tidak turun jalan raya, mereka jadi kebingungan. Tidak faham mengapa, “mengapa Anwar ‘tidak berminat lagi’ turun jalan raya?”

Ternyata, ramai yang hendak jadi persis Anwar… niat itu bukannya salah. Cuma, harus juga disedari, di samping Anwar mempunyai kekuatan dari pelbagai sudut yang membentuk karisma dan ketokohannya, kekuatan utama Anwar ialah kerana beliau berpegang kepada idealisme, dan idea. Kedua-dua hal ini adalah kekuatan luar biasa.

“Idealisme dan idea”: hal inilah yang masih belum subur di dalam “Parti Anwar Ibrahim,” iaitu, Parti Keadilan Rakyat (Keadilan). Sampai hari ini pun.

Betul! Kita memang sedang berhadapan dengan kezaliman dan penganiayaan pemimpin Umno-BN. Tidak lain tidak bukan, kita—terutamanya anak-anak muda—perlu lawan semua kebejatan itu. Tetapi kita juga harus mencari dan menyedari kekuatan asas untuk menentang musuh.

Dari dahulu sampai sekarang, dalam mana-mana persaingan dan pertandingan, selain “strategi”, pemikiran di belakang semua itu adalah penting. Sangat-sangat penting. Tentang apa yang hendak kita lawan? Apa yang hendak kita bawa?

Kalau betul kita percaya kepada tuntutan “perubahan”; “islah”; “reformasi” sebagai maksud ulung kepada “Agenda Perubahan”, kita tidak boleh elak daripada menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedia ada.

Maka, tuntutan perubahan akan bermula dengan bertanyakan: apa Agenda Angkatan Muda? Masing-masing pun tergamam, dan baru hendak tercari-cari.

Sementara itu, saya ulangi yang saya tidak setuju untuk menggunakan ruang demokrasi dan pertandingan hanya untuk berebut atau mempertahan jawatan; sama seperti saya tidak bersetuju untuk menutup ruang demokrasi hanya dengan alasan untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum akan datang.

Sesungguhnya, generasi baru bangsa Malaysia, terutama ahli-ahli Angkatan Muda Keadilan, harus segera menuntut agenda baru yang jelas. Dan tuntutlah dengan suara yang cukup lantang! Bagi barisan kepimpinan AMK pula, mereka seharusnya sudah mampu menjawab dengan sejelas-jelasnya.

Semoga Tuhan menunjukkan jalan… amin.

Masa Untuk Perubahan



Hasmi Hashim,
Ketua Bahagian Parit Sulong.

15 Mac 2007

[kembali ke halaman utama]

1 Comments:

Blogger keADILan Parit Sulong said...

Pengundimuar,

Saya bersyukur kalau dapat bertemu, tetapi itu bukan bermakna saya tidak menghargai pandangan saudara.

Saya sendiri mengenali Anwar sejak sekolah rendah, dan kami juga pernah 'berselisih'. Tetapi, 1998, memanggil saya untuk kenal beberapa hal, termasuk erti "reformasi," "negara hukum" (juga erti "negara sekular, yang memisahkan antara kepercayaan Peribadi [termasuk agama] dengan Negara). Sebabnya: Negara bukan milik mana-mana peribadi. Termasuk Malaysia, bukan milik satu batang tubuh.

(Saya akan jelaskan kemudian tentang pandangan saya terhadap "Negara Teologi" dan "Negara Sekular," juga tentang prinsip-prinsip asas "demokrasi" "liberalisme" dan "kebebasan.")

Tumpuan saya sekarang ialah AMK, dan Keadilan: wadah yang perlu dibajai agar subur. Waktu untuk menjual [barangkali] belum tiba, dan kerana itu peranan saudara jauh lebih penting ~ kalau betullah kemampuan saya untuk menjual, dan saudara menanamnya.

Masa mendesak. kita perlu tanam "idealisme dan idea" itu sekarang. Kita tanam sungguh-sungguh.

Terima kaseh kerana mengikuti tulisan dan pandangan saya sebelum ini, dengan tekun.

Hasmi Hashim,
Jalan Telawi, Kuala Lumpur.

12:51 PM  

Post a Comment

<< Home